Thursday, February 12, 2009

Bunga Serai

Kepada sesiapa yang belum pernah tengok bunga serai, ini aku tunjukan gambar-gambarnya. Dalam kebun serai aku, ada banyak yang berbunga dan sedang mengeluarkan bunganya. Pelbagai yang mentafsirkan bila serai berbunga. Tapi yang penting jangan sesekali kita mensyirikan Allah swt. Makhluk tidak dapat memberikan manafaat atau mudarat selagi tidak mendapat keizinan dari Allah swt.


Ini gambar bunga serai dari dekat.

Ini bunga serai dari jauh

Ini puteri Si Bunga Serai

Ini Panglima Si Bunga Serai.. :-)

Wednesday, October 29, 2008

Ini Jawabannya

Ramai yang bertanya apa yang JasaBumi lakukan terhadap projek fasa pertama. Jawabannya ada di dalam gambar di bawah ini...





Oleh kerana kos untuk menuai melebihi dari harga yang dapat kami jual maka keputusan kami adalah mengupah traktor untuk plough semula tanah tersebut. Sekiranya ami masih lagi hendak jual kepada Rumpun Biotek atau kepada pehak lain, ini kiraan secara kasar...

Dengan mengambil kira:

Upah buruh + makan minum = RM30/hari

Jumlah maksimum yang dapat dituai = 40kg/pekerja/hari

Harga jualan serai = RM0.70/kg

Jumlah pendapatan :

Jumlah jualan = 40kg x RM0.70 = RM28/hari

Untung Rugi = (RM2)/hari/pekerja (RUGI)

Lain-Lain Perkara Yang Belum Diambilkira:

  • Tenaga buruh yang sukar didapati untuk penuaian yang secara besar-besaran.
  • Serai yang kecil menyebabkan penuaian hanya dalam sekitar 30-40kg/hari/pekerja sahaja (pengalaman)
  • Tenaga buruh yang tidak mahir akan memburukkan lagi kerja-kerja penuaian
  • Kos pengurusan penghantaran pekerja (petrol).
  • Penjualan dan pemasaran untuk pasaran tempatan tidak berbaloi kerana kos perjalanan yang jauh, serai yang kecil (sukar untuk dijual).
  • dsn

Kesimpulan:

UPAH JENTERA UNTUK MEMUSNAHKAN TANAMAN SERAI CONTRACT FARMING (BENIH SERAI PEHA AYAM) DARI RUMPUN BIOTEK. ANGGARAN RUGI KESELURUHAN RM14,000++

KINI TERUSKAN DENGAN PENANAMAN SERAI TETAPI MEMBUAT PEMASARAN SENDIRI DAN MENANAM JENIS SERAI DARI BAKA SERAI GAJAH.

INILAH JAWABAN KAMI KEPADA YANG BERTANYA.

(Ramai yang e-mail dan talipon kepada kami telah berkongsi pengalaman yang mana serai yang ditanam melalui RB tidak mendapat hasil yang memuaskan - dari Parit Raja, Kahang Timur, Simpang Rengam, Kulai, Rengit, Pulau Pinang)

Saturday, October 25, 2008

Sedikit Update

Bila musim hujan setiap hari yang melanda, rumput yang tumbuh pun bagai tidak terkawal. Semoga rahmat yang berganda-ganda melimpah ruah dengan turunnya hujan pada setiap hari.

Rumpun yang berusia 3 bulan dicantas daunnya dengan meninggalkan panjang serai lebih kurang 1.5 kaki dari paras tanah.


Berat serai yang dituai untuk jualan untuk setiap kilo jumlah batang serainya di antara 10 ke 20 batang. Matlamat kami membekalkan serai yang telah dibersihkan supaya pelanggan berpuashati dengan serai yang dibekalkan.

Di antara rumpun-rumpun terdapat banyak kekosongan kerana serai yang mati kerana dari awal penanaman telah teruk dilanyak oleh berpuluh-puluh ekor lembu-lembu. Gambar di bawah pulak adalah salah seekor lembu yang mati dalam sungai (bersebelahan dengan kebun kami) kerana temakan rumput yang baru disembur racun (agaknya la). Tuan lembu menuduh pekerja aku yang meracun tetapi yang terbuktinya kami sudah hampir 2 bulan tidak menggunakan racun rumpai untuk mengawal rumpai-rumpai yang tumbuh. Diharapkan tuan punya lembu mengambil iktibar dengan kematian seekor lembu ini.


Saturday, October 18, 2008

Bermulanya Tuaian

Alhamdulillah hasil tanaman dari fasa kedua telah mula dituai dan serai yang dihasilkan berkali ganda besar dari fasa pertama. Pelanggan telah mula membuat tampahan, tetapi terpaksa dikurangkan penjualan kerana tuaian terpaksa digunakan sebagai benih untuk memenuhkan tanah sedia ada. Untuk membeli benih dari luar amat terhad dan mahal.

Dari segi pengiraan kos, fasa pertama penanaman terpaksa dilupuskan kerana kos menuai akan melebihi dari pendapatan hasil jualan. Contract Farming dengan Rumpun Biotek terpaksa diterminate kerana mereka tidak membekalkan benih yang baik menyebabkan tanaman serai yang kecil-kecil dan aku rasa mereka tidak dapat membeli hasil yang dikeluarkan. Ramai yang menghubugi aku.. mereka pun mengalami masalah yang sama terhadap tanaman mereka. (Kalau yang mendapat hasil yang baik tu.. aku ucapkan Tahniah!)

Ini adalah sebahagian dari hasil tuaian untuk dibuat benih. Hasil dari penanaman yang terawal sebelum adanya pekerja. Tanaman yang mana telah teruk dilanyak oleh berpuluh ekor lembu-lembu (tuan lembu lebih lembu dari lembu-lembu tersebut :-) ), yang juga serainya hampir mati kerana terracun oleh orang yang diupah meracun rumput tetapi juga teracun rumpun serai yang subur. Tapi alhamdulillah dengan pekerja yang boleh diharapkan, segalanya berjalan dengan lancar. Di pagi hari raya pun berbasikal sejauh 2km untuk memantau sekiranya ada lembu-lembu yang memasuki kebun tanpa diminta melakukannya dan tanpa upah kerja.

Ini perbezaan serai peha ayam dari RB berbanding dengan serai gajah. Kini kami memberikan tumpuan penanaman kepada jenis serai gajah kerana ianya lebih berat, besar dan permintaan yang tinggi dari peraih untuk dihantar ke Singapore (tapi buat masa ini pemasaran dilakukan di daerah Kluang sahaja).

Di antara masalah penanam serai adalah serai-serai yang dimakan oleh ulat pengorek batang. Batang serai yang luar nampak cantek tetapi di dalamnya telah rosak. Serai ini kalau ditanam tidak akan hidup (melainkan dengan izin Allah) dan sekiranya terjual, akan merugikan pembeli dan rasa mungkin tertipu.


Ini initiative pekerja yang digajikan untuk menanam di tengah-tengah batas yang telah ditanam. Kurang sikit modal untuk membeli racun. Sambil-sambil mebersihkan rumput di tengah-tengah antara batas terus boleh digunakan untuk menanam serai. Ini hanya proses cubaan. Sekiranya berjaya, akan dilakukan di tempat yang lain. Di antara keburukan cara penanaman ini adalah:
  • Sekiranya terjadi serangan serangga di pokok lama, mungkin akan menjangkiti serai-serai yang baru ditanam.
  • Menganggu proses pembersihan/pembajaan tanah secara menyeluruh.
  • dsn.

Selingan....

Selamat Hari Jadi buat Sulung aku. Sambutan di Pizza Hut, Kluang. Kini aku sudah ada si bujang yang telah berumur 19 tahun. Dapat juga berkumpul sebaik sahaja anak-anak yang duduk di asrama dapat balik di hujung minggu. Si angah tidak dapat berkumpul kerana kini berada di Mesir melanjutkan pelajaran di sana dalam jurusan perubatan anjuran pelajar cemerlang MARA. Kalau si angah melayari laman blog ini, gambar ini sebagai pengubat rindu Angah.

Tuesday, September 23, 2008

Bila Tanah Telah Memenuhi

Kali ini tanah di projek fasa ke-2 telah dipenuhi dengan tanaman serai (sedikit tebu dan beberapa pokok pisang berangan). Untuk memaksimakan penggunaan tanah kami terpaksa membuat keputusan untuk menanam di celah-celah barisan serai yang telah besar. Bila dilakukan kami nampak ada kebaikannya.

Diantaranya:

  1. Secara tidak langsung barisan yang dipenuhi rumput dapat dibersihkan.
  2. Menggurangkan penggunaan racun.
  3. Pembajaan dapat dilakukan di barisan serai-serai lama.
  4. Memaksimakan penggunaan tanah.
  5. Rumput di tepi serai yang lama tidak dibuang sepenuhnya supaya tanah lebih sejuk dan dapat melembabkan tanah di sekeliling rumpun.
  6. Pekerja yang diupah sentiasa bekerja

Projek fasa ke-2. Keseluruhan tanah telah dipenuhi.

Barisan serai yang semak

Pembersihan di tengah-tengah barisan serai yang telah ditanam

Tanaman benih baru ditanam di celah-celah barisan.


Sunday, September 7, 2008

Perjuangan Diteruskan

Kali ini aku hanya postkan gambar-gambar dan sedikit penerangan terhadap gambar-gambar tersebut. Dalam bulan puasa ini tak idea sangat nak menaip...


Aku nak crite sikit pasal serai dari pengalaman yang kami lalui. Projek fasa pertama agak gagal kerana benih serai yang dibekalkan oleh Rumpun Biotek (RB) tidak dapat mencapai berat sebagaimana yang dijangkakan. Akhirnya serai-serainya kecil-kecil dan susah untuk membesar. Benih yang dinyatakan sebagai benih peha ayam... tapi bila hidup nampak macam peha burung aje. Pengalaman yang sama dikongsikan dengan beberapa rakan yang lain. Ketidakpuasan hati terhadap RB mula berbuah dari mulut ke mulut.

Inilah rupa serai yang terhasil dari benih RB. Dari pemerhatian, benih yang ditanam banyak menghasilkan anak-anak tetapi sukar untuk membesar. Serai yang tumbuh pun tidak tinggi. Macam serai kampung.

Berbanding dengan benih yang kami beli sendiri. Bandingkan dengan serai ini... Batangnya naik dengan cantek, tinggi dan membesar dan beranak.


Walaupun ditanam di atas tanah dan penjagaan yang sama serta ditanam pada masa yang sama ianya boleh dibandingkan saiz-saiznya serai rumpun di sebelah kanan amat kecil (baka benih RB) berbanding dengan rumpun sebelah kiri yang dibeli oleh kami.

Gambar ini pula ada projek JasaBumi Agro fasa ketiga. Penanaman serai baka serai gajah untuk pasaran Johor. Tidak ada contrak farming tetapi akan dijual direct kepada peraih.


Penunggu tanpa gaji perlu disediakan kerana gangguan dari monyet-monyet. Hari pertama tanam hampir 100kg benih telah dirosakkan oleh monyet-monyet. Tidak pernah pulak kami mendengar, monyet akan makan serai.

Apa yang kami dapati adalah, monyet-monyet ini adalah makhluk yang ingin mencuba. Agaknya selepas makan mereka kena cirit birit kot... (agak-agak aje..) jadi mereka tak makan lagi selepas itu..

Ini adalah bentuk serai yang di makan oleh monyet-monyet. Sedihnya.. sudah le benih susah untuk didapati.. Kena pulak dirosakkan oleh monyet-monyet.


Di antara pengajaran projek fasa pertama adalah ketiadaan air untuk menyiram benih-benih serai selepas ditanam. Jadi untuk fasa ketiga ini, penyediaan kolam takungan air disediakan dari awal-awal lagi.

Sunday, August 31, 2008

Merdeka dan Menjelang Ramadhan


Merdeka ke 51.. Merdeka..Merdeka..Merdeka. Didoakan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan di dalam keredhaaan Allah swt (untuk mereka yang beragama Islam)
Menyambut Merdeka tahun ini rasanya begitu hambar dan tidak bermaya. Apakah rakyat Malaysia sudah hilang semangat patriotik? Atau sudah tidak sayang kepada negara? Atau... Atau...
Bagi aku pula jawabannya adalah:
  1. Dengan kos sara hidup yang membebankan, rakyat kini terpaksa berkira untuk membeli bendera-bendera untuk di kebarkan.
  2. Menunjukkan protes senyap kepada pemerintah negara yang mereka sudah muak dengan cara mereka mentadbirkan negara. Protesnya adalah dengan tidak mengibarkan bendera jalur gemilang.
  3. Syarikat-syarikat yang membuat bendera adalah kepunyaan orang-orang politik atau kroni orang-orang politik. Berkempen dengan menggunakan duit rakyat untuk memperkayakan syarikat-syarikat tersebut.
  4. Pemerintah hanya meminta semangat patriotik dilakukan oleh rakyat. Apakah mereka yang mengamalkan rasuah, memfitnah, mencuri harta negara dan pelbagai lagi kejahatan kepada negara merupakan orang yang patriotik?
  5. Adakah kita sebenarnya telah merdeka dengan erti kata yang sebenarnya? Atau kita masih lagi rasa dijajah oleh bangsa sendiri dalam bentuk kokongan minda, kebebasan, rasuah yang amat berluasa, dsn.
  6. dan pelpagai lagi alasan.

Sempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak, kami dari JasaBumi Agro mengucapkan menyambut bulan puasa. Semoga tahun ini, akan menguatkan lagi azam kita untuk membanyakkan lagi ibadat kepada Allah swt.

Jadual berkebun akan tetap diteruskan. Pekerja yang digajikan akan diringankan sedikit kerja-kerja supaya tidak memberi alasan untuk tidak berpuasa. Sebenarnya ada beberapa perkembangan projek terbaru dari JasaBumi Agro untuk diberitahu tetapi akan di updatekan pada post-post yang akan datang. Insha-Allah.









Wednesday, August 6, 2008

Kembali

Maaf kerana sudah agak lama tidak update blog ini. Hampir lupa password (hehehe..). Laptop telah diguna oleh anak aku. Baru ianya dipulangkan semula. Alhamdulillah anak aku telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran mengambil bidang perubatan di Mesir atas program pelajar cemerlang anjuran MARA. Peruntukan untuk membeli laptop akan dikeluarkan pehak MARA. Kini tengah menjalani program persiapan ke Mesir di UKM, Bangi. Insha-Allah akan berangkat pada pertengahan bulan puasa nanti.

Berbalik kepada projek tanaman serai oleh JasaBumi Agro. Kini kami telah mempunyai seorang pekerja dari Indonesia. Jamun namanya. Kedatangannya berpermit... Bukan datang secara haram. Sudah hampir 2 bulan bersama kami. Kerja 6 hari seminggu, Public Holiday cuti... Weekendnya hari Jumaat. Tapi kami bayar gaji sekiranya hari Jumaat dan Public Holiday disuruh bekerja.

Bila dah ada pekerja, kami hanya banyak melakukan pengurusan dan perancangan sahaja. Pergi kebun pun hanya melakukan pemantauan sahaja. Alhamdulillah... semenjak ada pekerja kebun dapat dijaga dengan baik.


Jamun.. badan kecik.. tapi tulang kuat. Benih serai 40kg enteng aje diangkat. Katanya di Indonesia dia biasa angkat guni jagung ayam antara 90-110kg seorang diri (2 kali ganda berat badan dia) dan pada setiap kali guni jagung datang bertan-tan banyaknya...

Kini kami tidak perlu menanam... Semua dibuat oleh Jamun. Kebun lebih bersih dan dijaga dari pijakan lembu-lembu.


Urusan semua kerja-kerja penanaman, penyiraman, meracun rumput, membaja dan segalanya dilakukan oleh Jamun.

Sunday, June 1, 2008

Benih Serai

Kepada sesiapa yang banyak bertanyakan dimana untuk mendapatkan benih serai. JasaBumi Agro sedia menyediakan benih sebagaimana yang tertera di bawah:

Harga : RM2.00/kg (mungkin berubah sekiranya harga pasaran lebih dari nilai ini)
Minimum order :100kg
Sila Hubungi : 012-7475800 atau 013-7751328
Lain-Lain :
- Sila masukkan nilai ke dalam bank untuk nilai pesanan yang dibuat (MayBank Acc#: 101066685151).
- Nyatakan waktu pengambilan benih yang hendak dibuat.
- Pengangkutan - Kena sediakan sendiri

Sunday, May 25, 2008

Apa Sudah Jadi?

Dah lama aku tak update blog ini kerana lap-top aku yang satu ini diusung ke sana ke sini oleh anak-anak yang menggunakannya untuk urusan sekolah, penyemakan daftar kemasukan pusat pengajian tinggi dan chit-chat dengan kawan-kawan di dalam freinster. Lap-top pejabat pulak hanya digunakan untuk urusan kerja pejabat dan tidak digunakan untuk urusan peribadi. Mulai awal tahun ini aku pun memang tidak menang tangan kerana kesebokkan kerja yang tempat aku bekerja hendak menuju ke arah pensijilan ISO9001:2000. Kebanyakan kerja-kerja terpaksa dibawak balik ke rumah untuk disiapkan. Itulah akibatnya bila syarikat membekalkan pejabat bergerak (lap-top). Waktu di rumah pun terpaksa melakukan kerja-kerja office. Jadi kalau kat office tu ada curi tulang... ianya berbayar balik dengan buat kerja office di rumah... :-)


Terlalu banyak kerja-kerja kebun terbengkalai dan memerlukan semakan semula terhadap segala perancangan dan progressnya. Pekerja warga Indonesia terpaksa diambil untuk membantu semua kerja-kerja di kebun kerana kami yang memakan gaji ini hanya dapat meluangkan masa pada hujung minggu sahaja. Tetapi pada kebiasaannya pada hujung minggu ini akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang lain selain dari berkebun yang mana aktiviti-aktiviti tersebut tidak dapat dilakukan pada hari-hari bekerja seperti ziarah keluarga, shopping, urusan keluarga, dsn. Pokok-pokok di kebun pun mungkin dah merajuk kerana tidak dibelai dan dijaga dengan sempurna. Segala urusan pegambilan pekerja kami dibantu oleh adik aku dan segalanya telah hampir selesai. Insha-Allah akan diperolehi pada bulan hadapan.


Di bawah ini aku postkan beberapa gambar untuk tatapan yang mana kebun ini hanya dapat diziarahi beberapa kali sahaja. Penanamannya mengikut peringkat-peringkat. Ada masa tanam. Tak ada masa biarkan.




Cuaca yang panas.... air dalam perigi pun sudah semakin cetek..


Benih serai yang baru ditanam berusia 1 bulan

Untuk kebun ini benih ditanam tidak serentak. Kawasan yang telah ditanam hanya lebih kurang 3/4 ekar sahaja... ada lebih dari 2 ekar masih belum tertanam. Masa tidak mengizinkan.

Bila mengupah orang untuk meracun... bayak juga benih serai yang mati kerana terkena racun. Geram pun ada.

Monday, April 14, 2008

Baja Pulak

Bila dah menanam kalau nak hasil yang lebih kena la membaja. Kalau tak mahu membaja pun tak apa... tapi hasilnya amatlah kurang... yang amat sangat. Kaedah membaja pun ada pelbagai cara dan penggunaan baja pun ada pelbagai jenis. Tapi aku nak nasihatkan la kalau nak membaja tu jangan la gunakan baja tahi yang tanpa diproses terutama pada masa hampirnya waktu tuaian. Bayangkan bila membaja dengan tahi ayam dan semasa pembajaan akan tahi tersebut masuk kecelah-celah serai tersebut. Lepas tu ianya akan dijual kepada peniaga makanan seafood buat tomyam. Para-para peniaga seafood ni ada ke masa nak bersihkan betul-betul di celah-celah daun serai tu? Apa yang akan dihasilkan makanan tersebut adalah tomyam yang di"sedap"kan lagi dengan perasa tahi ayam... eeeeee... Walaupun mungkin bukan kita yang memakannya tetapi sebagai orang yang beragama Islam, tanggungjawab kita menentukan segala yang dihasilkan adalah bersih lagi suci. Itu menjadi tanggungjawab kita.



Ambil sedikit sahaja untuk setiap pokok yang hendak dibaja.



Taburkan jauh lima inci dari rumpun pokok serai tersebut. Jangan terlaku rapat kerana baja kimia biasanya agak panas untuk pokok tersebut.



Untuk serai yang sudah besar taburkan di keliling rumpun pokok tersebut. Jumlahnya lebih sedikit dari pokok yang baru.

Minta Perhatian:

Paparan yang dinyatakan hanyalah sebagai garispanduan sahaja, ilmu Allah maha luas. Jadi pelajari dengan mereka yang lebih mahir dari pelbagai sumber adalah yang terbaik. Kita boleh olah untuk menghasilkan cara kita sendiri. Ada juga yang menggunakan baja cecair, caranya pulak mungkin berbeza. Begitulah seterusnya.

Monday, March 31, 2008

Langkah Demi Langkah Penanaman

Bila bertanya dengan mereka yang menyerai ni, mereka memang tak ada masa untuk berinternet. Jadi mereka juga kurang masa untuk mengadap komputer. Aku pun boleh merasainya. Kalau dulu boleh dikatakan setiap hari boleh spend 2-3 jam mengadap laptop... tapi sekarang ni mungkin 2-3 jam seminggu.

Sebagaimana yang dijanjikan di sini aku masukkan sedikit ilmu langkah penanaman serai yang dipelajari. Ilmu penanaman serai ini memang banyak. Yang digambarkan di sini hanyalah basic atau asasnya sahaja. Otai-otai serai yang berpuluh tahun berkecimpung dalam penanaman pun masih terus terokai pelbagai cara untuk memaksimumkan hasil yang ada.

Tatacara adalah seperti di bawah.

1 - Tanah perlu digemburkan segembur-gemburnya.



2- Buat line dengan menggunakan tali mengikut lebar dan panjang mana yang dikehendaki.

3- Buat lubang dengan menggunakan cara tersendiri samada menggunakan cangkul atau peralatan yang sesuai.

4- Lubang yang digali mengikut kedalaman yang sesuai.

5- Pilih benih yang sesuai dan bilangan benih yang hendak ditanam dalam satu lubang.



6- Masukkan benih ke dalam lubang yang digali.


7- Pastikan benih dalam kedudukan yang betul.

8- Benih yang ditanam perlu disiram dengan air yang mencukupi.

Sekian.

Saturday, March 22, 2008

Mencari dan Terus Mencari

"Aku nak pergi kursus tanam serai la..." beritahu aku kepada kenalan. Jawabnya "Perlu ke tanam serai pun nak berkhusus? Bukan ke tanam serai ni senang? Gali lubang tanam dah boleh hidup? Buang duit aje pergi khusus...". Kata-kata ini tidak melemahkan semangat aku. Aku perlu buangkan sedikit budget untuk menimba ilmu dari mereka yang berpengalaman.

Pada dua hari yang lepas dapat bertemu otai penanaman serai yang sudah hampir lapan tahun berpengalaman dengan penanaman serai. Dikenali dengan Abang Shawal Serai. Berjumpa kali pertama seumpama kami telah berkenalan berpuluh tahun. Berkawan dengan orang bertani tidak sama dengan orang koperat. Orang yang bergelumang dengan tanah berbeza dengan orang yang bertali leher. Banyak pengalaman lapan tahun Abang Shawal berserai telah dicurahkan sepanjang satu jam perbualan kami. Pengalaman yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit.

Tapak penanaman Abang Shawal di bawah bantuan Pejabat Pertanian


Cara penanaman yang agak berbeza tetapi ada sebab disebalik perbezaan tersebut.
Malam ini aku di Hotel De Palma, Kuala Selangor. Mak ooiii mahal juga Hotel yang tidak seberapa selesa (RM189/night). Siang tadi aku menghadiri khusus yang dianjurkan oleh Pejabat Pertanian Kuala Selangor berkaitan dengan penanaman serai. Pak Din Serai telah mencurahkan ilmu penanaman serai selama sepuluh tahun. Kawasan penanaman sebesar kurang lebih 100 ekar. Segala kepenatan mengharungi perjalanan dari selatan ke Kuala Selangor berbayar dengan ilmu yang tidak dapat dinilai dengan harga khusus yang dibayar. Karektor yang agak sama dengan Abang Shawal. Tidak kedekut dalam berkongsi ilmu berkaitan dengan penanaman serai.

Esok akan pergi lawatan dan buat praktikal cara penanaman, pemangkasan, penuaian dan pembersihan serai di kebun Pak Din Serai. Insha-Allah aku akan uploadkan gambar-gambar aktiviti-aktiviti di dalam blog ini.


Tak payah diberitahu, mungkin boleh dikenali yang mana satu Pak Din Serai

Peserta-peserta khusus sedang mendengar penerangan berkaitan dengan penanaman serai.



Makan sudah semestinya. Penganjur kursus tidak kedekut dalam budget makan dan minum.